KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Penghargaan Sedekad Prihatin yang diadakan di Dewan Utama Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Berangkat sama mengiringi Baginda ialah YAM Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim.
Hadir sama YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah bin Hj Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Dr. Mohd Khairi bin Yakub, Ahli Lembaga Pengarah TLJCF; YB Kol (B) Dato’ Mohamed Perang bin Haji Musa, Ahli Lembaga Pengarah TLJCF; Encik Mohd Ikmal Izam bin Zaini, Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF; serta para tetamu kehormat yang lain.
Majlis ini diadakan bagi menghargai para penaja, rakan strategik, rakan hebahan dan semua organisasi yang telah bersama TLJCF sepanjang sedekad penubuhannya. Para tetamu turut menyaksikan video kisah dua pejuang kanser terbitan TLJCF serta video “Fight Like Me” terbitan Royal Press Office sempena sedekad kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Jalil, di samping persembahan istimewa daripada Yayasan Warisan Johor.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan sokongan, baik dalam bentuk dana, kepakaran, tenaga, masa mahupun dorongan moral yang telah menjadi tunjang kekuatan TLJCF dalam menyantuni para pejuang kanser selama ini. Semoga semangat kebersamaan ini terus subur, dan lebih ramai pihak tampil bersama kami untuk membantu mereka yang memerlukan.