Jarak dan perjalanan yang jauh sering kali menjadi cabaran fizikal yang amat memeritkan buat seorang pejuang kanser. Setiap kitaran rawatan bukan hanya menuntut ketabahan emosi, tetapi juga tenaga yang banyak.
Kini, pejuang kanser di sekitar daerah Segamat tidak lagi perlu berulang-alik jauh ke Johor Bahru atau Muar semata-mata untuk mendapatkan rawatan harian. Unit Rawatan Harian Onkologi Tunku Laksamana Johor (URHOTLJ) di Hospital Segamat wujud sebagai pusat rawatan yang membawa kemudahan dan keselesaan lebih dekat dengan rumah mereka.
Siap sepenuhnya pada Jun 2025 dan mula beroperasi secara rasmi pada September 2025, fasiliti ini berkeupayaan menampung 10 pesakit pada satu-satu masa. Bagi memastikan setiap saat yang dilalui di sini terasa lebih tenang, unit ini dilengkapi dengan reclining chair (kerusi sandar) yang selesa, katil pesakit, serta ruang menunggu yang khusus dan selesa buat ahli keluarga serta waris yang setia menemani.
Sehingga kini, fasiliti ini telah memberi manfaat dan menyentuh kehidupan 142 pejuang kanser di daerah ini.
Bagi memastikan ruang ini dapat dibina dan berfungsi dengan standard keselesaan yang terbaik, Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation telah membelanjakan lebih RM160,000 bagi penambahbaikan fasiliti ini. Komitmen TLJCF dalam menaiktaraf fasiliti ini adalah bagi memastikan bantuan perubatan dan sokongan persekitaran sentiasa sampai ke kawasan yang memerlukan.
Di Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation, kami percaya bahawa mengurangkan beban perjalanan mereka adalah satu bentuk sokongan emosi yang besar. Setiap ruang yang ditransformasi dan setiap kemudahan yang disediakan adalah hasil kepercayaan serta sumbangan orang awam serta penaja korporat yang sentiasa berdiri teguh di belakang perjuangan ini.
Bersama-sama, kita mudahkan perjalanan rawatan mereka dan berikan harapan yang lebih dekat.
#FightLikeJalil #TLJCF